Allah Taala telah menjadikan perkahwinan di antara tanda-tanda kekuasaanNya.  
Menurut  Syeikh Prof. Muhammad Ali al-Sabouni di dalam kitabnya az-Zawaaj  al-Islami al-Mubakkir, Allah Taala menganugerahkan tiga kurniaan kepada  hamba-hambaNya yang telah hidup berkeluarga (berkahwin) iaitu:
1.Pertama:Isteri  merupakan seorang manusia mulia yang Allah Taala ciptakan dari jenis  yang sama dengan lelaki (suami). Oleh itu, kemuliaan suami itu menjadi  sejajar dengan kemulian dan kemanusiaan isterinya juga.
Firman Allah Taala bermaksud: Dan  di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kamu  isteri-isteri dari jenis kamu sendiri. (Surah ar-Rumm: Ayat 21).
Allah  Taala juga menciptakan isteri dari jenis yang sama agar mereka saling  kenal-mengenali dan berkasih-sayang sepertimana kata orang: Setiap jenis  akan berkasih sayang dengan sesamanya juga.  Begitu juga dengan sebuah syair Arab yang indah ini:
Dalam asmara aku telah dikenakan baju indah bersulam cinta Oleh seorang gadis yang amat jelita Hingga purnama pun malu di hadapannya Bila mata ini berbuat salah kerananya Maka dengan airmata ia basuh semua dosa.
2.Kedua:Ketenteraman  dan ketenangan jiwa yang dirasakan oleh suami ketika berdampingan  dengan isteri yang solehah. Ini akan membawa kepada ketenteraman dan  ketenangan dalam kehidupan berumahtangga.  
Isteri  yang menjadikan suami merasa tenteram dan suami juga menjadikan isteri  merasa tenang menepati firman Allah Taala bermaksud:Dialah yang menciptakan kalian dari diri yang satu dan darinya Dia menciptakan isterinya agar dia merasa senang kepadanya. (Surah al-Araaf: Ayat 189).
3.Ketiga:Dengan ikatan kasih sayang dan cinta maka Allah Taala mengikat hati suami dan isteri itu.  
Firman Allah Taala bermaksud: 
Dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. (Surah ar-Ruum: Ayat 21).
Tanpa adanya nikmat ini nescaya seseorang suami tidak akan merasa senang kepada isterinya.  Dengan  kekuasaan-Nya maka tertanamlah perasaan cinta ini sehingga apa yang  menyakiti akan disakiti bersama dan apa yang disenangi akan disenangi  bersama.  Perkahwinan Itu Satu Ibadah  Secara umumnya kita  telah mengetahui bahawa perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW.  Perkahwinan juga adalah suatu ibadah serta salah satu cara mendekatkan  diri kepada-Nya.  Dengan perkahwinan, seseorang Islam itu akan  mendapat ganjaran dan pahala daripada Allah Taala bilamana perkahwinan  itu dilakukan dengan ikhlas dan bukan kerana nafsu semata-mata.  Bahkan hubungan kelamin di antara suami isteri juga mendapat ganjarannya.Sebuah hadis Rasulullah SAW bermaksud:  
"Dan  pada kemaluan seseorang dari kalian terdapat sedekah. Para sahabat  bertanya: Wahai Rasulullah, apakah seseorang yang menyalurkan nafsu  syahwat (kepada isterinya) memperolehi pahala? Rasulullah SAW bertanya:  Apakah seseorang yang menyalurkan nafsu syahwatnya dengan cara yang  haram (berzina) ia berdosa? Mereka menjawab: Betul. Kemudian Rasulullah  SAW bersabda: Demikian juga jika ia menyalurkan pada tempat yang halal  maka ia akan memperolehi pahala." (Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad).
Halangan Dalam Melaksanakan Dakwah  Mungkin  ada yang bertanya sendirian, mengapa saya memilih tajuk ini? Bukankah  tajuk 'hebat' yang lain lebih banyak untuk dibicarakan?  Saya  memilih tajuk ini kerana saya teringat satu tulisan ulama yang pernah  saya baca suatu ketika dahulu mengenai halangan-halangan utama untuk  berdakwah.  Di antara halangan tersebut ialah suami/isteri serta keluarga.  Asas dakwah sudah tentulah bermula dari institusi keluarga dengan suami dan isteri menjadi ketuanya.  Jika  mereka sendiri tidak sehaluan dan rapuh pegangannya, mana mungkin  dakwah ini dapat dijalankan dengan jayanya di rumah, apatah lagi untuk  masyarakat Islam yang lain. 
Oleh itu, suami atau isteri (serta  bakal) perlu memahami perkara ini dengan sebaiknya agar usaha dakwah  kita tidak terbantut di tengah jalan.  Kesimpulan ringkas dari tazkirah kali ini ialah:
1. Perkahwinan itu satu ibadah dan anugerah dariNya. 
2. Percepatkan perkahwinan jika sudah bersedia.3. Selain memilih pasangan hidup yang beragama, pasangan hidup yang memahami perjuangan kita juga perlu diutamakan. 
4. Suami dan isteri perlu melayari bahtera rumahtangga dengan perasaan kasih sayang dan cinta.5. Mendidik anak dengan agama adalah tanggungjawab ibubapa.